Tuan Tabal (1840-1891)

Nama sebenar beliau ialah Haji Abdul Samad Bin Muhammad Saleh al-Kelantani .Sesetengah kajian menyatakan nama penuh beliau ialah Haji Wan Abdus’ Shamad bin Wan Muhammad Shalih bin Wan ‘Abdul Lathif al-Fathani. Ulama’ yang masyhur ini dilahirkan pada sekitar tahun 1816 atau 1840, tarikh sebenar kelahiran beliau masih lagi menjadi pertikaian para pengkaji sejarah.

Beliau dilahirkan di Kampung Tempoyak, Tabal yang pada ketika itu berada dalam jajahan  takluk negeri Kelantan. Sekarang Tabal dikenali sebagai Tak Bai yang berada didalam wilayah Narathiwat, Selatan Thailand. Wujudnya gelaran Tuan Tabal ke atas dirinya kerana beliau berasal dari Tabal. Sudah menjadi kelaziman di dalam tradisi masyarakat Islam Kota Bharu apabila munculnya seorang ulama’ masyhur, maka ulama’ itu akan akan diberi gelaran nama tempat asal kampungnya.

Menurut sumber mutawatir dari penduduk kampung Tabal, Tuan Tabal berketurunan Wan Husein Telok Manok iaitu pendiri Masjid Telok Manok, antara masjid tertua di Patani, Thailand. Tidak dapat dinafikan bahawa Tuan Tabal adalah termasuk dalam lingkungan kekeluargaan besar para ulama’ Patani yang terkenal seumpama Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani, Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fatani, Syeikh Muhammad bin Ismail ad-Daudi al-Fatani, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani, dan lain-lain.

Beliau mendapat pendidikan awal daripada ayahandanya sendiri iaitu Haji Muhammad Saleh yang merupakan seorang yang alim dan wara’ yang juga seorang Imam dikampungnya. Menurut beberapa sumber, beliau menuntut ilmu di pondok yang menjadi institusi pengajian agama pada waktu itu ketika di Patani dan kemudiannya menuntut pula dengan Tuan Guru Haji Hasan Besut di Terengganu.

Tuan Tabal telah pergi ke Makkah untuk mengerjakan haji dan menziarahi makam Rasulullah dan seterusnya menetap di Makkah beberapa tahun untuk mendalami ilmu agama. Antara ilmu agama yang dipelajarinya ketika di Makkah ialah Ilmu Fiqh, Usuluddin, Tasawuf, Tafsir, Hadis dan Mantiq. Ketika di Makkah beliau berguru dengan Sheikh Sulaiman Hasbullah al-Makki, Sheikh Abdul Qadir bin Abdul Rahman,  Sheikh Ibrahim al-Qadhi Salleh ar-Rashidi dan banyak lagi gurunya yang tidak dapat dikesan.

Dari gurunya Sheikh Ibrahim al-Qadhi Salleh ar-Rashid atau lebih masyhur dikenali sebagai Sidi Ibrahim ar-Rashid yang merupakan murid dan sahabat kepada Sidi Ahmad Bin Idris (r.h) yang padanya disandarkan Tariqat Ahmadiah Idrisiah.  Dari Sidi Ibrahim inilah beliau mempelajari ilmu tasawuf dan seterusnya menerima Tariqat Ahmadiah dan Tuan Tabal merupakan generasi kedua kepada tariqat ini.  Beliau merupakan rakan seperguruan kepada Sidi Muhammad Dandarawi, Tok Wan Ali Kutan dan Sheikh Ahmad al-Fathani.

Sekembalinya dari Makkah pada sekitar tahun 1860, beliau mula mengajar di kampungnya dan beberapa tempat lain. Beliau kemudiannya berpindah ke Kota Bharu, menurut beberapa sumber kedatangan beliau ke Kota Bharu atas jemputan seorang kerabat diraja Kelantan.  Di Kota Bharu beliau mendirikan Surau di Lorong Tok Semian sebagai tempat beliau menyampaikan ilmu agama. Menurut tarikh tersebut, terbukti Tuan Tabal adalah orang pertama yang membawa masuk Tarekat Ahmadiah Rashidiah ke Kelantan secara khusus dan ke Tanah Melayu secara umumnya.

Di Kota Bharu jugalah beliau bertemu jodoh dengan Hajah Wan Kalthum @ Wan Som anak kpd Tok Semian atau nama sebenarnya Haji Wan Abdul Rahman Bin Lebai Muda seorang jurutulis kpd Sultan Muhammad ke-2.  Hasil perkahwinannya dengan Hajah Wan Kalthum  beliau memperoleh 6 orang anak iaitu Wan Muhammad@Ahmad, Wan Musa, Nik Omar, Wan Abdullah, Wan Aishah dan Wan Fatimah. Manakala hasil perkahwinan beliau dengan Hajah Baru pula dikurniakan 2 orang anak iaitu Che Mat dan Che Wok.

Tuan Tabal merupakan antara ulama’ Tanah Melayu yang menghasilkan karya agung kitab jawi yang meliputi setiap aspek ilmu shariah, namun kebanyakannya lebih tertumpu pada ajaran Tasawuf. Dikatakan beliau hanya menyebarkan Tarekat Ahmadiah Rashidiah hanya kepada murid dan ahli keluarga sahaja, namun pengamalan beliau diketahui umum oleh masyarakat Kota Bharu termasuklah Sultan. Beliau tidak meletakkan syarat atau baiah mahupun ijazah bagi masyarakat awam untuk mengamalkan zikir asas Tarekat Ahmadiah, bagi beliau sesiapa sahaja bebas mengamalkan Tarekat ini. Antara bukti Tuan Tabal menyebarkan Tarekat ini dapat dilihat dalam surat Sultan Kelantan kepada Sheikh Ahmad al-Fatani :

”… orang yang dahulu beberapa banyak terima Thariqat Rasyidi, seperti Tuan Haji Abdus Shamad Tabal …”

Namun begitu, Tuan Tabal tidaklah menjadikan Tarekat Ahmadiah Rashidiah sebagai topik asas pengajaran beliau dipondoknya. Sebaliknya beliau lebih menumpukan kepada ilmu-ilmu shariah seperti fiqh ibadah dan juga ilmu tazkiyatun nafs (tasawuf) secara umum. Semasa hayatnya, Tuan Tabal telah menghasilkan beberapa buah karya penulisan dalam bentuk kitab. Antara kitab tulisannya yang ulung atau magnum opus ialah kitab Minhatul Qarib yang membicarakan ilmu Tauhid, Fiqh dan Tasawuf yang mana teknik penulisan yang menggabungkan ketiga-tiga cabang ilmu Islam ini menyerupai karya Imam al-Ghazali, Ihya’ Ulumuddin dimana gaya penulisan seperti ini jarang dipraktik oleh ulama’ tanah melayu ketika itu. Antara kitab-kitab tulisan Tuan Tabal adalah seperti berikut :

  1. Minhatul Qaribul Mujib Wa Mughnir Raaghibin Fi Taqreeb
  2. Jala’ al-Qulub Bi Zikrillah
  3. Kifayatul ‘Awwam fi ma Yajibu ‘alaihim Min Umuril Islam
  4. Munyatul Ahlul Awbah Fi Bayani Taubah
  5. Bab Harap
  6. Bidayatul Ta’alimul ‘Awwam Fi Tarafin Min Arkanil Islam
  7. Munabbahul Ghafilin
  8. Munyatul Muridin fi Ba’di ausaf Saiyidil Mursalin yang dikatakan kitab terjemahan dari Risalah Shaykh Abdul Aziz Dabbagh.

Diantara murid Tuan Tabal yang kemudiannya menjadi ulama’ yang mayshur ialah Haji Nik Wan Daud bin Wan Sulaiman (Imam dan Mufti Pertama Negeri Kelantan ), Hakim Nik Abdullah bin Raja Zainal, Haji Wan Salleh (Mufti Negeri Terengganu), Tok Kenali dan termasuklah anak-anaknya sendiri yang terkenal seperti Haji Wan Musa (Mufti Negeri Kelantan ke-3), Haji Wan Abdullah Khatib dan Haji Wan Muhammad (Mufti Negeri Kelantan ke-4).

Beliau amat dikenali sebagai ulama’ yang menggabungkan kedua-dua disiplin ilmu agama iaitu Ilmu Shariah dan Haqiqah sehingga beliau di beri pujian sebagai Ulama’ Haqiqah alArif billah al-Jami’ Bayn Shariah wal Haqiqah. Tokoh ulama’ yang ‘arif billah ini akhirnya dipanggil menghadap rabbul Jaleel pada sekitar tahun 1891 M dan dimakamkan di perkuburan Banggol, Kota Bharu, Kelantan.

makam tuan tabalMakam Tuan Tabal di Tanah Perkuburan Banggol, Kota Bharu, Kelantan.

Telah banyak penulisan tentang Tuan Tabal ditulis oleh pelbagai penulis dan pengkaji di peringkat Malaysia mahupun antarabangsa seperti William Roff, Mark Sedgwick, Haji Wan Muhammad Saghir Abdullah, Hj Nik Abdul Aziz Bin Hj Nik Hasan, Abdullah Alwi, Hamdan Hassan, Prof. Che Zarrina Shaari (anak Ustaz Shaari Tarekat Ahmadiah Atas Banggol), Prof Dr Ahmad Zaki Berahim (UM) dan banyak lagi.

** for english version you may refer to this link Tuan Tabal

Advertisements