Sidi Ahmad Bin Idris (1760-1837)

Tarekat Ahmadiyyah atau Idrisiyyah adalah sebuah Tarekat yang muncul dan berpusat di Wilayah Asir, Arab Saudi pada akhir dasawarsa kedua abad ke 19 M. didirikan oleh Sidi Ahmad Bin Idris al-Hasani al-Araisyi al-Fasi berketurunan Rasulullah S.A.W dari Saidina Hasan Bin Ali (r.a).

Sidi Ahmad Bin Idris dilahirkan didalam sebuah keluarga yang mulia dan terhormat di Maysur di daerah al-‘Arayish (Larache) pesisir pantai Maghribi (Morocco) yang menghadap laut Atlantik. Beliau dilahirkan pada bulan Rajab sekitar tahun 1173 H / February-March 1760M, mengikut keturunannya, beliau dilahirkan pada tahun 1163H. Beliau berketurunan Imam Idriss Bin Abdullah al-Mahd dari Dinasti Shariff Idrissi yang menjadi pemerintah Kota Fez, Morocco. Setelah tamat pendidikan asas dalam al-Quran, Sidi Ahmad menuntut ilmu di Madrasah Masjid Qarawiyyin pada umur 20 tahun. Di situlah beliau belajar pelbagai cabang ilmu agama dibawah bimbingan ramai ulama termasuklah Sidi Muhammad at-Tawdi Ibn Souda (wafat 1794M), al-Majidri as-Shinqiti, Sidi Abdul Wahab at-TAzi (wafat 1783M) dan Abul Qasim al-Wazir. Di antara gurunya yang lain juga termasuklah Abdul KArim Yazghi (1784M) dan Mohammad Tayyeb ibn Kiran (wafat 1812M). Antara karya yang dipelajari oleh Sidi Ahmad ialah karya tokoh hadis yang ulung,  Ibn Hajar al-‘Asqalani ,  Asanid of Ibn Suda ketika di Mesir dan banyak lagi.

Daripada guru-gurunya yang tersebut di atas juga beliau mengambil jalan tasawuf tarekat sufi  seperti Tarekat Khadiriya dari Abd Wahab at-Tazi, Tarekat Nasiriya Shaziliyah dari al-Wazir, dan melalui gurunya as-Shinqiti beliau mengambil Hizb as-Saifi yang dikatakan berasal dari Saidina Ali bin Abu Talib (r.a).  Dapatlah dibuat kesimpulan bahawa Sidi Ahmad mempelajari ilmu agama atau shariah secara formal yang lebih menumpukan pada ilmu Tafsir dan Hadis, dilengkapi pula oleh ilmu Tasawuf dan ikatan kesufian. Beliau yang kemudiannya mempunyai kumpulan pengikut atau pelajarnya sendiri yang mana mereka diajar supaya menentang perbuatan bida’ah yang banyak dilakukan oleh kumpulan Sufi atau Tarekat, dan menggesa supaya kembali kepada sumber asas Islam iaitu al-Qur’an dan Sunnah. Inilah yang ditekankan oleh beliau sepanjang hidupnya.

Dengan pegangannya terhadap al-Quran dan Sunnah yang tegar, beliau mengalami konflik dengan ulama’ Qarawiyin lalu meninggalkan bumi Fez untuk mengerjakan Haji, dan sejak itu beliau tidak lagi kembali ke Maghribi buat selama-lamanya. Dalam perjalanan ke Makkah, beliau singgah di Mesir sekitat tahun 1798M, di sana beliau menyampaikan ceramah perdana di Universiti al-Azhar, Kaherah yang dihadiri oleh begitu ramai hadirin. Dari situ, beliau mengumpulkan pengikutnya yang kemudian ikut serta bersamanya ke Makkah untuk menunaikan Haji pada sekitar penghujung tahun 1213H/1798M.

Ketika inilah beliau dikatakan bertemu dengan seorang tokoh ulama’ yang terkenal di Madinah ketika itu Muhammad Haya’ as-Sindhi  dan sempat berguru dengan ulama’ tersebut. Muhammad Haya’ as-Sindhi turut menekankan peri-pentingnya kembali kepada asas Islam iaitu Quran dan Sunnah serta memerangi bida’ah melampau yang dilakukan oleh kumpulan sufi dan tarekat pada ketika itu yang keluar dari landasan yang benar. Sedang Muhammad Haya’ sendiri merupakan pengikut Tarekat Naqsyabandi, beliau menggalakkan anak muridnya melakukan revolusi dalam tarekat dengan membuang unsur-unsur bida’ah dan khurafat.  Antara muridnya yang terkenal kontroversi ialah Muhammad bin Abdul Wahhab yang kemudian terkenal sebagai pengasas gerakan Wahabi. Jadi, Sidi Ahmad dan Ibn Abdul Wahab berkongsi guru yang sama tapi mereka berbeza dalam banyak perkara terutamanya dalam hal tasawuf.

Beliau menetap di Makkah  dan turut menyampaikan ilmu agama di Makkah. Beliau dihormati oleh Pemerintah Makkah ketika itu iaitu Shariff Ghalib Bin Musa yang menghadiahkan pada Sidi Ahmad sebuah rumah di al-Jaafariya, Makah untuk kegunaan Sidi Ahmad dan pengikutnya. Sharif Ghalib dihalau keluar oleh Wahhabi dibawah Sa’ud bin Abdul Aziz pada tahun 1803. Sidi Ahmad tetap di Makkah dan beliau juga dihormati oleh Sa’ud bin Abdul Aziz yang memberikan sepenuh penghormatan kepadanya serta memberi jaminan keselamatan pada pengikut Sidi Ahmad (ini berkemungkinan kerana Sidi Ahmad rakan seperguruan Shaykh Muhammad Abdul Wahhab).  Yang menariknya, Sidi Ahmad meninggalkan Makkah pada tahun 1813 dan gerakan Wahabi juga turut di halau atau dikalahkan oleh Mohammad Ali Pasha pada tahun yang sama. Seolah ada perkaitan antara keduanya.

Sidi Ahmad keluar dari Makkah menuju ke Mesir bersama pengikutnya. Namun pada 1817 beliau kembali semula ke Makkah dan menetap disana lebih kurang 10 tahun. Akibat konflik antara Sharif Ghalib yang rapat dengan Sidi Ahmad dengan Mohammad Ali Pasha, serta beberapa ulama’ Makkah yang tidak menyukai Sidi Ahmad, beliau kemudian keluar meninggalkan Makkah buat kali kedua dan kali ini menuju ke Yaman sementara muridnya as-Sanusi ditinggalkan di Makkah sebagai wakilnya disitu.

Reputasi Sidi Ahmad di Yaman amat baik dan beliau disanjung tinggi oleh ulama-ulama Yaman dan antara mereka ada yang membawa pemikiran yang hampir sama dengan Sidi Ahmad, iaitu pemikiran tajdid. Beliau menjadi tetamu kepada mufti di Yaman ketika itu, Abdul Rahman Bin Sulaiman al-Ahdal. Di Yaman, beliau menyampaikan ilmu agama, memberi sanad hadis dan ijazah kitab-kitab ulung seperti karya Ibn Hajar al-Asqalani dan lain-lain. Kredibiliti Sidi Ahmad disanjung oleh ulama’ Yaman yang terkenal ketika itu Imam Muhammad as-Shawkani. Ramai ulama’ di sana berguru dengan Sidi Ahmad.

Setelah mengembara selama 2 tahun dibumi Yaman, Sidi Ahmad menuju ke Sabya di Wilayah Asir yang sekarang berada dibawah Negara Saudi pada tahun 1828M. Beliau mengambil keputusan untuk bermastautin di Sabya dan ulama’ yang hebat ini akhirnya meninggal dunia di situ pada 21 Rajab 1253H bersamaan 21 Oktober 1837M.

maqam sidi ahmadMakam Sidi Ahmad Bin Idris (rahimahullah) di Sabya, ‘Asir, Saudi Arabia.

Advertisements